KUALA LUMPUR: Kabinet meluluskan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Dasar Mineral termasuk unsur nadir bumi (REE) bagi memastikan pengeksploitasian hasil mineral itu dibuat secara lestari dan mampan, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau memberitahu, ketika ini pihaknya sedang menunggu dasar itu bagi membolehkan kerajaan negeri menggunakan REE itu dengan sebaik mungkin.

"Jawatankuasa berkaitan mineral di bawah Majlis Mineral Negara akan diadakan pada 2 Oktorber ini, di mana saya akan pengerusikan dan dianggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO)  berkaitan mineral dan galian dan menteri-menteri Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Pelancaran Sasaran Sifar Bersih UEM Edgenta bersempena Bulan Kelestarian (ESG Awareness Month) 2023 di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nazmi memberitahu, penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk menyiapkan Dasar Mineral Negara termasuk isu REE dengan berfokus kepada dua objektif.

"Pertama, memastikan sebanyak mungkin daripada nilai tambah itu dapat diadakan di negara kita, sebab itu ada larangan eksport terhadap bahan mentah daripada REE.

"Kedua ia dapat dilaksanakan dengan keadaan mesra alam sekitar dan seiring dengan komitmen kita dengan pemuliharan hutan.

"Kita mahu pastikan keadah-kaedah yang digunakan tidak meninggalkan kesan negatif kepada alam sekitar dan komuniti sekeliling," jelasnya.